Punca Masalah Lutut (Part 1)

Sakit lutut adalah masalah biasa yang berpunca daripada kerosakan pada mana-mana struktur di bahagian lutut seperti femur, tibia, fibula, patella, ligamen, tendon dan tulang rawan lutut.

Baca: Bagaimana Sakit Lutut Terjadi?

Secara amnya sakit lutut terbahagi kepada dua kategori iaitu sakit lutut akut dan sakit lutut kronik. Sakit lutut akut adalah sakit lutut yang berlaku secara tiba-tiba atau cepat, akibat daripada kecederaan sukan, kemalangan jalan raya dan trauma. Manakala sakit lutut kronik pula adalah sakit lutut yang berlaku secara perlahan-lahan, berpunca daripada proses penuaan dan penyakit sistemik seperti gout. 

Baca: Jenis-jenis Kesakitan Pada Lutut

Kali ini kami ingin kongsikan maklumat yang lebih mendalam lagi tentang jenis-jenis sakit lutut. 

#1 – Kecederaan Lutut

Kecederaan pada lutut boleh berlaku semasa melakukan aktiviti sukan seperti bermain futsal, larian marathon dan latihan kickboxing. Ada juga kecederaan lutut yang berlaku disebabkan oleh kemalangan dan trauma. Apabila lutut cedera, ligamen, tendon dan bursa yang berada pada sendi lutut akan mengalami kerosakan.

Ada 4 jenis kecederaan lutut.

Yang pertama ialah tulang lutut patah atau retak. Biasanya disebabkan kemalangan jalan raya.

Kedua, ligamen terkoyak. Kecederaan lutut melibatkan ligamen ini selalunya dialami oleh atlet sukan. Mereka yang gemar aktiviti riadah seperti bermain futsal juga lebih berisiko untuk mendapat kecederaan ini.

Ketiga, tendon terkoyak. Tendon adalah tisu yang menghubungkan tulang dan otot. Ia berfungsi sebagai kusyen yang menyerap hentakan. Aktiviti suka seperti larian, berbasikal dan lompatan boleh menyebabkan tendon terkoyak.

Keempat, tulang rawan terkoyak. Fungsi tulang rawan adalah untuk melancarkan pergerakan sendi dan mengurangkan geseran. Kecederaan pada bahagian ni juga berpunca daripada aktiviti sukan.

#2 – Masalah Mekanikal

Masalah mekanikal pada lutut bermaksud masalah yang melibatkan pergerakan komponen atau struktur pada bahagian lutut. 2 jenis masalah mekanikal yang boleh berlaku ialah dislokasi lutut dan dislokasi tempurung lutut.

Apa maksud dislokasi?

Dislokasi adalah kecederaan yang dialami pada sendi tulang di mana tulang sendi bergeser keluar dari mangkuk sendi.

Ramai yang keliru dan beranggapan dislokasi lutut dan dislokasi tempurung lutut adalah perkara yang sama. Sebenarnya tidak sama. Dislokasi lutut berlaku apabila tulang paha (femur) dan tulang kering (tibia) tersasar daripada kedudukan asal, manakala dislokasi tempurung lutut berlaku apabila tulang kepala lutut bergerak daripada kedudukan asal, keadaan ini juga dipanggil sebagai lutut terkehel.

#3 – Keradangan Sendi

Dalam konteks kesihatan, radang merujuk kepada keadaan sesuatu bahagian badan atau organ menjadi bengkak, merah, panas, gatal dan sakit akibat jangkitan atau kecederaan. Jadi keradangan sendi bermaksud keadaan sendi yang bengkak dan sakit, istilah perubatannya ialah ‘arthritis’.

Osteoarthritis – Radang sendi yang disebabkan oleh proses penuaan yang berlaku dalam sendi dimana permukaan sendi rawan semakin menipis dan cecair pelincir (Synovial) dalam sendi mula berkurangan.

Rheumatoid Arthritis – Radang sendi yang disebabkan oleh penyakit autoimmune di mana sel pertahanan badan akan menyerang sendi pada badan sendiri.

Septic Arthritis – Radang sendi yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Gout – Radang sendi yang disebabkan oleh kandungan asik urik yang terlalu tinggi dalam darah yang kemudiannya terkumpul menjadi kristal pada kawasan sendi lutut.

Ada banyak lagi punca lain seperti penyakit lupus, ketumbuhan dan kanser tulang yang boleh menyebabkan masalah lutut. Kami akan bincangkan punca-punca lain ini pada artikel akan datang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top