Jenis-jenis Kesakitan Pada Lutut

Ada banyak punca yang boleh menyebabkan sakit pada bahagian lutut. Secara umumnya sakit lutut dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu sakit lutut akut dan sakit lutut kronik.

Sakit lutut AKUT? Apa maksud perkataan’akut’ ini? Agak janggal bukan?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘akut’ ialah istilah berkaitan penyakit yang muncul dengan tiba-tiba dan agak singkat tempohnya.

Jadi sakit lutut akut bermaksud sakit lutut yang berlaku secara tiba-tiba, dalam waktu yang singkat atau cepat. Petang semalam lutut elok saja, pagi ini lutut tiba-tiba sakit pula. Sakit lutut akut ini biasa terjadi kepada golongan muda akibat daripada kecederaan semasa bersukan, kemalangan jalan raya atau trauma seperti jatuh, ditimpa barang dan lain-lain.

Seterusnya sakit lutut kronik. Istilah ‘kronik’ ini biasa kita dengar. Kronik bermaksud penyakit yang berlarutan dan sukar sembuh atau keadaan/masalah yang sangat teruk dan tidak menyenangkan.

Maka sakit lutut kronik merujuk kepada sakit pada bahagian lutut yang berlaku secara perlahan-lahan. Sakit lutut kronik memakan masa yang lama, berbeza dengan sakit lutut akut yang berlaku secara mengejut.

Penghidap sakit lutut kronik ini ramai daripada golongan yang sudah berusia. Golongan muda jarang-jarang menghidap sakit lutut kronik kerana prosesnya yang mengambil masa bertahun-tahun untuk berlaku.

Apakah faktor yang menyebabkan sakit lutut kronik?

Faktor pertama, penuaan.

Apabila usia semakin meningkat, tubuh badan akan mengalami proses degeneratif, di mana proses pembaharuan sel-sel rosak menjadi lambat, tidak sepantas seperti waktu muda dahulu. Antara tanda-tanda proses penuaan adalah seperti kulit mula mengendur, penglihatan semakin kabur, pendengaran berkurangan dan sendi menipis.

Permukaan sendi rawan yang semakin menipis dan cecair pelincir dalam sendi yang mula berkurangan akibat proses penuaan inilah yang menyebabkan berlakunya sakit lutut kronik.

Faktor kedua, penyakit sistemik.

Penyakit sistemik adalah penyakit yang melibatkan lebih daripada satu organ. Masalah sakit lutut kronik boleh berlaku akibat daripada penyakit sistemik seperti gout. 

Gout menyebabkan kehadiran asid urik yang tinggi di dalam darah. Asid urik ini boleh meresap masuk ke dalam kawasan sendi lutut. Jika kepekatannya terlalu tinggi, ia akan terkumpul menjadi kristal. Kristal inilah yang akan menyebabkan rasa sakit di bahagian lutut.

Masalah sakit lutut ini adalah masalah yang boleh dialami oleh semua orang dewasa, muda atau tua. Punca atau penyebabnya saja yang berbeza.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top